adnow



loading...

IKLAN

Thursday, March 30, 2017


Disini dikongsikan 8 langkah untuk murah rezeki.

#1 Sentiasa berniat baik

Segala urusan bermula dengan niat. Biat yang baik, maka urusan juga akan dipermudahkan. Niat yang tidak baik, keberkatan usaha pula akan hilang.

#2 Sentiasa bercakap benar

Kepercayaan orang lain kepada kita berasal dari diri kita sendiri apabila sentiasa bercakap yang benar-benar sahaja. Membina kepercayaan orang adalah sukar, namun menghilang kepercayaan orang adalah amat mudah. Sentiasa bercakap benar.

#3 Sentiasa berakhlak mulia

Mereka berakhlak mulia bukan sahaja disukai oleh orang di keliling, tetapi dicintai oleh Allah swt. Tidak perlu memuaskan hati orang sahaja, cinta teragung adalah dengan Allah swt dan akhlak mulia adalah jambatan untuk mencapainya.

#4 Sentiasa menepati masa

Buangkan tabiat melengahkan masa, atau tidak menepati masa. Usah lagi beri alasan “on the way” bila terlewat di mana kita baru sahaja melangkah keluar rumah

#5 Sentiasa amanah dan dipercayai

Bina kepercayaan dengan menjadi seorang yang beramanah.

#6 Sentiasa bertutur dengan bahasa dan cara baik

Jaga pertuturan. Apa yang kita kata mencerminkan peribadi sendiri. Bercakap dengan lemah lembut dan dan bahasa yang baik. Anda sentiasa akan dihormati.

#7 Sentiasa berketerampilan kemas

Berpakaian dan berketerampilan kemas bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar bersederhana dan tidak pula dilihat selekeh. Pakaian yang tidak terurus, rezeki juga tidak akan datang.

#8 Sentiasa jaga perbualan perkara yang baik sahaja

Sentiasa berkata-kata yang positif sahaja. Apa yang kita kata, akan menjadi doa. Doakan yang terbaik sahaja untuk diri, keluarga dan juga kenalan yang kita berbual bersama.
0


Saya mengenalinya isteri saya sudah agak lama iaitu sejak tahun 2004 semasa di matrikulasi UIA lagi. Walaupun jurusan berlainan tetapi kami berpeluang mengenali disebabkan dia antara pelajar yang menyertai kelas Bahasa Arab saya.
Saya mengambil jurusan kejuruteraan manakala isteri saya pula mengambil jurusan Bahasa Arab. Peliknya saya merupakan pelajar jurusan kejuruteraan yang mengajar Bahasa Arab kepada pelajar Bahasa Arab. Pelik bukan?
Suasana Kelas Bahasa Arab yang saya anjurkan.
Lebih kurang 40 orang pelajar telah menyertai kelas tambahan saya di mana kebanyakannya daripada jurusan Bahasa Arab dan Ilmu Wahyu. Boleh dikatakan kelas ini majoritinya disertai oleh kumpulan ustazah.

Berazam Untuk Berkahwin Awal

Semasa di matrikulasi lagi saya sudah memasang matlamat untuk berkahwin awal apabila memasuki kampus utama. Saya hendak berkahwin semasa masih belajar lagi. Calon isteri semasa itu belum ada, cuma angan-angannya sahaja. Saya tidak memikirkan sangat berkenaan hal kewangan disebabkan yakin dengan asbab perkahwinan Allah akan bagi rezeki.
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.
Jika mereka miskin, Allah akan “Memberi Kekayaan” kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
Surat An-Noor : 32
Saya mula mengumpul duit sedikit demi sedikit dengan hasil jualan prepaid telefon bimbit di matrikulasi. Alhamdulillah perniagaan agak maju. Disitulah saya dapat mengumpul sedikit duit. Apabila masuk ke kampus utama di Gombak, saya bekerja mengajar pelbagai subjek untuk tuisyen di rumah.
Saya mula dengan meminjam motor kawan untuk pergi mengajar. Lama jugak saya meminjam motornya, sehinggakan kadang-kala rasa bersalah takut dimarahi disebabkan asyik meminjam. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli sebuah motorsikal terpakai dan kereta kemudiannya.

Mula Mencari Calon Isteri

Apabila pendapat bulanan sudah agak banyak dan stabil, saya mula mencari calon isteri. Calonnya banyak disebabkan geng-geng “ustazah pilihan” ramai yang menyertai kelas saya. Ini memudahkan saya senang untuk mendapatkan maklumat. Akhirnya saya telah memilih seorang yang terbaik pada pandangan saya.
Tetapi saya tidak mahu membuat keputusan sendirian. Saya meminta pendapat adik perempuan saya yang turut belajar di UIA sama ada pilihan saya baik ataupun tidak. Alhamdulillah adik saya menyatakan ianya baik.
Kita tidak boleh bersendirian dalam mencari calon isteri. 
Tekad dengan pilihan hati, saya meminta bantuan orang tengah untuk memberitahu niat saya untuk menjadikan Widyana Ali sebagai isteri. Jika sang dia suka, maka dia kenalah bersetuju untuk berkahwin dalam masa setahun.
Kalau tidak bersetuju berkahwin dalam masa setahun, maka saya akan mencari calon lain. Alhamdulillah dia suka dan bersetuju. Saya menelefon maknya dan berbincang mengenai hal ini beberapa kali. Akhirnya maknya pun setuju. Maka kami pun bertunang.
Selepas bertunang barulah saya tahu bahawa dia sudah lama berdoa supaya dapat jodoh dengan insan yang bernama Mohd Yazid Ismail. Sejak matrikulasi lagi rupa-rupanya. Patutlah dari banyak-banyak calon, sayalah menjadi pilihanya. Inilah berkat doa.

Sedihnya, Isteri Tidak Pandai Memasak!

Tetapi alangkah sedihnya, selepas bertunang barulah saya tahu dia tidak pandai masak langsung. Dahulu semasa merisik tidak semak betul-betul. Aduhai nasib-nasib.
Risau juga pada awalnya disebabkan tidak pandai memasak biasanya mempunyai kaitan dengan sifat yang lain iaitu kekurangan sifat keibuan dan urusan rumah tangga. Tetapi saya cuba positifkan fikiran bahawa semua benda boleh dipelajari. Tidak semestinya seseorang itu kena pandai sebelum berkawin.
Kalau begitu semua yang hendak jadi isteri kenalah pandai mengandung dan pandai menjaga anak sendiri sebelum berkahwin. Jadi saya tetapkan minda untuk terima dirinya seadanya dan bersedia untuk memberi sokongan.
Kami berkahwin semasa tahun dua di UIA Gombak. Apabila sudah berkahwin barulah saya tahu bahawa kemahiran memasak ini tidak perlu pandai. Semua perkara ini boleh di cari menerusi enjin carian Google seperti resepi dan cara-cara memasaknya. Cuma sediakan bahan-bahan yang diperlukan dan ikutkan sahaja langkah-langkah yang diberi. Akhirnya siap satu hidangan.

Tak Pandai Atau Malas Memasak?

Jadi zaman sekarang istilah tidak pandai masak ini lebih bermaksud kepada malas memasak. Seseorang itu sebenarnya malas memasak dan bukanlah disebabkan tidak pandai masak. Boleh sahaja memasak dengan bantuan tutorial dari telefon bimbit dengan meletakkan di tepi dan mengikutnya. Mudah!
Lihat bagaimana rupa bekal makanan anak-anak yang disiapkan oleh isteri saya.
Sekarang, pelbagai resipi telah dicuba dan jauh lebih sedap daripada tukang masak pakar di restoran. Tahun lepas, banyak telah dikongsi di FaceBook resepi masakannya, tips-tips mengurus rumah tangga dan tips keibubapaan.
Kalau di lihatkan inbox Facebooknya, seolah-olah dirinya yang pakar memasak disebabkan ramai yang PM bertanyakan resipi dan nasihat tunjuk ajar. Walhal sampai masa sekarang pun kadang-kala dia masih memasak menggunakan telefon bimbit.
Malah cara mengemas rumah dan susun atur perkakas dan perabot pun di carinya di Google. Banyak juga group Facebook disertainya mengenai hal menguruskan rumah tangga. Terima kasih Dyana sebab rajin dan tabah mengurus hal rumahtangga dan minta maaf juga sebab kadang-kala abang tidak banyak menolong.

Jangan Jadikan Alasan Tidak Pandai Memasak

Jadi peringatan kepad para isteri, jangan jadikan alasan tidak pandai memasak untuk tidak memasak. Alasan begitu sudah tidak logik. Adik-adik yang masih di universiti, jikalau hendak berkawin silalah memasang matlamat betul-betul. Stabilkan ekonomi diri dulu. Tidak perlu kaya tetapi stabil.
Gambar saya bersama isteri tersayang. 
Terima seadanya apa saja kekurangan pasangan kita.
0


“Siapa perlukan superhero, jika kita ada ibu?”
Itulah persepsi yang wujud. Ibu adalah superhero, supermama, dan segala-galanya super.
Hakikatnya, seorang ibu juga hanya manusia biasa. Kita kadangkala menangis keletihan, terlelap tatkala berfikir mahu melipat timbunan baju atau mencuci pinggan di dapur. Kita juga berharap kita cantik dan manis seperti Lisa Surihani, namun, ia kekal sebagai angan-angan.
Lelahkah menjadi seorang ibu sehingga ia membawa pergi senyuman dari wajah kita?
Masih ingat lagi senyuman lebar kita sewaktu melihat anak kita buat kali pertama di dunia ini? Anak-anak sebenarnya adalah penyeri hidup kita. Mereka perlukan kita tersenyum lebar seperti itu setiap hari!
Ingin jadi ibu yang lebih gembira? Apa kata tiru 15 cara ini pada hari-hari yang kita kelam dan penuh drama itu.

1. Rockstar

Setiap dari kita pasti ada lagu kegemaran kan? Selain daripada menjadi rockstar di rumah kerana sentiasa dipanggil ‘peminat’, apa kata terus nyanyikan lagu untuk mereka. Simpan CD di dalam kereta, tutup tingkap rapat-rapat dan mula menyanyi!

2. Run Forrest Run!

Sesekali, curi masa untuk berlari di taman. Meskipun kita sangat perlahan tetapi bersenam akan membebaskan hormon gembira. Jika perlu bawa teman, tolak stroller atau bawa basikal mereka sekali. Mereka akan semakin cergas dan kita pula pasti semakin laju. Ini situasi menang-menang untuk kita dan anak-anak kita!

3. Hello, boleh tolong saya?

Ada hari-hari tertentu, kita teringin keluar menonton wayang bersama si cinta hati, atau mungkin berjumpa kawan-kawan lama. Maka, kita minta bantuan ahli keluarga bagi menjaga anak kita buat seketika. Sebut perkataan magik iaitu “Please” atau “Tolong”, dan berhenti jadi supermama. Hakikatnya, supermama pun perlu cuti tahunan juga.

4. Saya maafkan!

Menjadi ibu, akan ada hari yang semua perkara serba tidak kena di mata kita. Mainan anak bersepah, pergaduhan Ultraman tidak henti-henti dan kadangkala menyesakkan dada. Lalu, kita pun terkeluar perkatan yang kita tidak maksudkan. Hal ini mungkin menyedihkan kita. Namun, tetap maafkan diri sendiri juga. Bukan selalu pun kita berkelakuan begitu.

5. Lima minit sahaja!

Setiap kali ada perkara tidak terkawal berlaku, larikan diri selama 5 minit. Capai majalah kegemaran yang baru dibeli, masuk ke dalam bilik, kunci pintu dan baca. Biarpun ada ketukan bertalu-talu pada pintu, nikmati sahaja 5 minit itu. Hadapi segala cabaran masa depan selepas 5 minit itu.

6. Nasi lemak, Kopi O

Kevin Zahri pun bersetuju, ada hari yang kita perlukan sebagai cheat day. Meskipun kita perlu berdiet kerana metabolisma tidak seperti dahulu, sekali-sekala usahakan makan makanan kegemaran kita. Lupakan kalori, diet, lemak jahat dan sebagainya. Nikmati sahaja makanan kita dengan senyuman.

7. Romantika

Benar, selepas anak tercinta datang dalam hidup kita, kasih akan mula terbahagi dua. Anak dan suami sama-sama menuntut perhatian kita. Namun, jangan lupa pada si dia. Curi masa berdua-duaan sewaktu mendobi baju, atau mungkin ketika berkebun. Boleh juga dating sewaktu makan, dan telefon dia semata-mata mahu berkata “Hai, saya rindukan awak!”. Biar si dia sedar kita sentiasa perlukan dia.

8. Senyum selalu

Ibu sentiasa dibebani rutin, jadual, pesanan guru-guru dan sebagainya sehingga kita lupa bagaimana mahu tersenyum. Apabila anak-anak menduga kita, katakan “Budak bertuah!” dan senyum! Seteruk mana pun situasi, tetap boleh jadi manis apabila kita ingat betapa perangai kita dahulu pun begitu juga. Jadi, senyum selalu sahaja!

9. Masa untuk keluar!

Kita tahu kita seorang ibu apabila aktiviti window shopping seorang diri sudah sama seperti percutian ke hotel lima bintang. Boleh jadi kita keluar ke kedai, kenduri, atau percutian singkat, tinggalkan sahaja rumah kita buat seketika. Pakai sunglasses, dan nikmati pemandangan yang ada.

10. Tidur yang lena

Anak kita bukan sahaja mencuri hati kita, tetapi tidur juga. Usahakan tidur pada masa yang tetap setiap hari. Biarkan sahaja sinki penuh dan bakul baju kotor menunggu kita. Tidur yang lena pasti membuatkan kita lebih segar bagi menghadam idea si kecil dan menyelesaikan urusan rumah yang tertangguh.

11. Me Time!

Menggembirakan diri sendiri kadangkala tidak memerlukan orang lain. Cara paling mudah antaranya membeli bunga segar untuk diri sendiri, makan di kafe pilihan atau membeli buku idaman. Buatlah perkara yang sering menggembirakan kita sejak dahulu lagi. Jadikan hal ini rutin, dan lakukan sebulan sekali.

12. Best Friends

Persoalan mahu masak apa atau sudah siapkah kerja sekolah anak kadangkala membunuh kebahagiaan kita. Kongsikan dengan kawan yang sudi mendengar dan memahami situasi kita. Sememangnya, seorang ibu hanya mahu bercerita. Simpan nombor kawan baik kita dan telefon sahaja mereka apabila perlu.

13. Momster, love me!

Kita melihat kehidupan orang lain sungguh sempurna sedangkan kita tidak sedar apa yang ada dalam dakapan kita, itulah perkara tidak ternilai. Hargai suami dan anak-anak kita seadanya. Pada saat kita menjadi momster, mereka tetap menyayangi kita. Itulah kasih-sayang tanpa syarat.

14. Bear hugs

Walau ada 1001 tip gembira sekalipun, ada waktunya kita kalah juga. Jadi, dapatkan bear hugs ini daripada anak kita. Pelukan ini ada kuasa hebat kerana ia suci dan penuh kasih-sayang. Jadikan hal ini sebagai tradisi keluarga. Ketika gembira, peluk saya. Ketika sedih pun, peluk saya juga!

15. Cantik seperti Lisa!

Ibu yang gembira adalah ibu yang selesa dengan dirinya. Meskipun pada wajah ibu itu, ada garis halus pada hujung mata, atau mungkin penimbang pun tidak mahu memberi kerjasama, percayalah kita sudah berusaha lakukan yang terbaik. Jaga kesihatan dan kecantikan diri semata-mata kerana keluarga dan diri kita juga.
Menjadi seorang ibu adalah sebuah kisah cinta yang berpanjangan.
Kita sangat menyayangi anak-anak kita, bermula dengan kaki mereka selebar 2 jari, sehinggalah jari-jari kita melepaskan mereka pergi pada suatu hari nanti.
Kita tidak sempurna, malah, ada kalanya kita terlepas saat pertama mereka berjalan. Kadangkala, kita tertinggal keretapi tentang cerita-cerita mereka. Kadangkala juga, kita tenggelam dalam usia yang sentiasa bergerak meniti masa, dan rasa bersalah yang berpanjangan.
Namun, anak-anak kita tidak pernah memerlukan kita menjadi seorang ibu yang sempurna, sebaliknya cukuplah dengan menjadi seorang ibu yang gembira.
Jadi, berhenti menjadi super, let yourself loose dan biarkan mereka bergembira bersama kita dan membina memori.
Nikmati hidup ini dan cari pelangi!
KONGSIKAN TAZKIRAH INI
0

Setiap perkahwinan adalah bertujuan mendapatkan kebahagian dan kasih sayang. Namun, kadang-kadang tanpa diduga dalam perjalanan rumah tangga tersebut terdapat halangan sehingga sesebuah perkahwinan itu tidak mampu diteruskan lagi.

Dalam keadaan tersebut, Islam memberi jalan keluar bagi pasangan yang sudah tidak ada persefahaman dalam berumahtangga, iaitu penceraian. Cerai merupakan perbuatan yang halal namun sangat dibenci dan tidak disukai oleh Allah s.w.t, tetapi sangat disukai oleh syaitan.
Allah s.w.t berfirman:
“Dan jika kalian bertekad kuat untuk talak, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”(Al -Baqarah: 227)

Terdapat beberapa hukum berkenaan dengan penceraian ini:

#1 – Mubah (Jika Diperlukan)

Hukum mubah ini dibolehkan jika seseorang suami sudah tidak mampu bertahan dan bersabar untuk hidup bersama-sama isterinya.

#2 – Mustahab (disukai/dianjurkan)

Hukum ini boleh digunakan sekiranya memudaratkan salah satu atau kedua-dua belah pihak jika pernikahan itu diteruskan. Selain itu, jika isteri seringkali disakiti hatinya oleh suami yang membuatkan kehidupannya terganggu juga dianjurkan supaya pasangan tersebut berpisah.
Bahkan terdapat kes yang mana sikap buruk suami (sering melakukan dosa) sukar diubah dan tidak boleh diuruskan oleh isterinya sendiri.

#3 – Wajib

Hukum bercerai menjadi wajib sekiranya seseorang isteri itu melakukan perbuatan terkutuk dan keji seperti berzina dan sebagainya. Selain itu jika isteri menjadi murtad atau keluar dari agama Islam.
Wajib juga bercerai jika berlaku perselisihan antara suami dan isteri yang sudah tidak dapat didamaikan lagi. Selain itu, dua orang wakil daripada pihak suami dan isteri juga gagal membuat kata sepakat untuk mendamaikan rumahtangga mereka.
Sekiranya pihak kadi berpendapat bahawa bercerai adalah lebih baik daripada meneruskan perkahwinan, bahkan jika tidak diceraikan, keadaan tersebut memberi dosa kepada suami maka hukumnya juga wajib.

#4 – Sunat

Sunat bercerai apabila suami sudah tidak mampu menyara kehidupan dan memberi nafkah kepada isterinya lagi. Selain itu, jika seseorang isteri itu tidak mampu menjaga maruah dan harta suaminya.

#5 – Makhruh

Adalah makhruh hukumnya apabila seorang suami menceraikan isterinya tanpa sebab-sebab yang jelas. Selain itu, apabila suami itu menjatuhkan talak kepada isterinya yang baik, berakhlak mulia dan berpengetahuan agama juga makhruh hukumnya.

#6 – Harus

Harus bercerai jika seseorang suami itu lemah keinginan batinnya atau isterinya belum datang haid atau telah putus haidnya.

#7 – Haram

Sesuatu penceraian menjadi haram apabila seorang suami menceraikan isterinya sewaktu isterinya sedang haid atau nifas, ketika keadaan isteri yang suci dan telah disetubuhi.
Dan haram hukumnya jika suami menceraikan isterinya agar isterinya tidak menuntut harta miliknya. Suami juga haram menyebut talak melebihi tiga kali.
Sebenarnya, keputusan cerai adalah terletak di tangan suami, dan bagi isteri tidak berhak dan tidak boleh (haram) meminta kepada suami untuk menceraikannya tanpa ada sebab kukuh seperti suami tidak menjalankan kewajipannya, isteri sering disakiti atau dizalimi, memiliki berakhlak buruk, suami yang suka melakukan perbuatan dosa besar dan sukar diubah serta suami yang telah murtad.
Bersabda Rasulullah SAW;
“Wanita mana saja yang meminta cerai dari suaminya tanpa ada alasan (syarie), maka haram baginya bau syurga.”(Hadis Riwayat Ibnu Majah)


0

Sesungguhnya, orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari bahawa dia hanyalah hamba, pasti akan patuh dengan setiap perintah yang disampaikan oleh para rasul, bahkan akan lebih khusyuk demi mendapat nikmat solat.



Terdapat seorang ahli ibadah yang sangat taat bernama Isam bin Yusuf. Beliau sangat warak dan khusyuk setiap kali mendirikan solatnya. Namun beliau selalu bimbang jika ibadahnya kurang khusyuk dan sering bertanya kepada orang-orang yang dianggap lebih alim untuk memperbaiki dirinya yang selalu dianggap kurang khusyuk.
Pada suatu hari, Isam bin Yusuf menemui seorang abid bernama Hatim al-Isam dan bertanya;
“Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan mendirikan solat?”
“Apabila masuk waktu solat aku berwudhuk zahir dan batin.” Hatim al-Isam lalu menjawab, kemudian Isam bin Yusuf bertanya lagi, “Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?”
Hatim al-Isam kemudian berkata,
“Wudhuk zahir seperti biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air. Tapi wudhuk batin adalah membasuh anggota dengan tujuh perkara.”
Isam bin Yusuf bertanya lagi dengan penuh perasaan, “apakah tujuh perkara itu?”
“Pertama bertaubat, kedua menyesali dosa yang dilakukan, ketiga adalah tidak tergila-gilakan dunia, keempat tidak mencari atau mengharap pujian orang lain, yang kelima tinggalkan sifat berbangga, keenam tinggalkan sifat khianat dan menipu dan ketujuh adalah meninggalkan sifat dengki.” Jawab Hatim al-Isam.
“Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian ‘Sirratul Mustaqim’ dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat yang terakhir, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam solat aku fahamkan maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk, aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun.”

Terang Hatim al-Isam kepada Isam bin Yusuf.
Sebaik saja Isam mendengar kata-kata Hatim al-Isam itu, Isam bin Yusuf terus menangis dan membayangkan ibadahnya yang kurang baik jika dibandingkan dengan Hatim al-Isam.
Demikian kebimbangan seorang ahli ibadah terhadap solatnya, bagaimana dengan kita? Adakah sudah cukup khusyuk solat kita selama ini?
Solat adalah ibadah yang mempunyai kedudukan paling mulia di sisi Allah SWT. Solat itu juga tiang agama. Disebabkan itulah solat dapat membezakan antara orang mukmin dan kafir. Sesungguhnya solat juga menghindari daripada perlakuan munkar dan mampu melebur dosa seseorang.
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.”
Al-Ankabuut: 45

Sesuai dengan tempatnya yang tinggi di sisi Allah, sudah tentu solat haru dilaksanakan dengan aturan yang istimewa; khusyuk.
Namun, khusyuk itulah yang susah digapai, bahkan menjadi dambaan agung bagi setiap umat Islam.
Tapi bagaimana untuk meraih khusyuk itu dalam solat kita? Terdapat beberapa cara yang boleh diaplikasikan demi mendapatkan solat yang khusyuk, seperti;
• Bersedia untuk solat
• Mengingat mati ketika solat
• Menghayati makna bacaan solat
• Membaca dan meneliti bacaan dengan betul
• Mengagungkan Allah SWT
• Tumakninah
• Wudhuk yang sempurna
• Tumpuan penuh pada solat
• Doa agar terhindar dari godaan syaitan
• Membaca surah sambil berhenti pada tiap ayat-ayatnya
• Meyakini bahawa Allah akan mengabulkan permintaan umatnya yang mendirikan solat
• Solat di awal waktu
• Azan dan iqamah
• Solat berjemaah
• Kosongkan hati dan lapangkan fikiran
• Suara bacaan tidak terlalu perlahan dan terlalu kuat (sederhana)
• Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
• Hindari solat ketika mengantuk
• Melihat ke arah tempat sujud
• Meletakkan sutrah (tabir pembatas)
• Menghilangkan sesuatu yang mengganggu kita di tempat solat
• Tidak solat di tempat yang terlalu dingin atau terlalu panas
• Menjaga makanan, minuman dan pemakaian
• Pilih tempat solat yang menenangkan
• Hindari solat sambil menahan buang air besar atau menahan air kecil
• Hindari solat berdekat makanan atau minuman yang disukai
• Membersihkan diri dan bersugi
• Jauhi solat di belakang orang-orang yang sedang bercakap-cakap atau orang yang tidur
• Jangan solat dalam keadaan lapar
• Jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil
• Pastikan tiada gangguan
• Kurangkan pergerakan
• Melawan goadaan syaitan dengan berzikir
• Pilih tempat solat yang menenangkan
• Gunakan sejadah atau pelapik yang tidak mengganggu perhatian
• Menghindari dari memikirkan hal keduniaan
• Merendahkan diri dan tawaduk
Sesungguhnya, orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari bahawa dia hanyalah hamba, pasti akan patuh dengan setiap perintah yang disampaikan oleh para rasul, bahkan akan lebih khusyuk demi mendapat nikmat solat. Seperti firman Allah SWT:
“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”
Surah al-Baqarah: 45-46


0

Wudhuk yang sempurna akan memberi kekhusyukan dalam sembahyang. Sesungguhnya wudhuk yang baik membantu menjadikan solat tersebut lebih baik.



Secara zahirnya, wudhuk adalah menyucikan anggota-anggota yang terdedah dan kotor seperti habuk dan debu. Begitu juga dengan anggota tersebut yang terdedah dengan maksiat dan dosa.
Sabda Rasulullah SAW;
“Sewaktu seorang muslim atau mukmin itu berwuduk, lalu ia membasuh mukanya, maka keluarlah dari mukanya itu semua dosa yang dilihat oleh matanya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Dikala ia membasuh kedua tangannya, maka terusirlah semua dosa yang tersentuh oleh kedua-dua tangannya bersama air atau bersama-sama dengan titisan air terakhir.
Manakala ketika ia membasuh kedua-dua kakinya, maka bersihlah semua dosa yang pernah dijalani oleh kakinya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir, sehingga keluar (selesailah) dalam keadaan bersih dari dosa-dosa.”
Hadis Riwayat Imam Muslim

Antara hikmah wudhuk ialah;

1- Ulama Fekah: Wudhuk sebagai usaha untuk memelihara kebersihan fizikal dan rohani. Anggota badan yang dibasuh air wudhukpaling banyak bersentuhan dengan benda-benda asing termasuk kotoran yang wajar dibasuh.
2- Ulama Tasawuf: Anggota badan yang dibasuh air wudhuk memang daerah yang sering melakukan dosa. Seperti tangan yang memegang benda haram dan mata yang melihat hal yang terlarang.
Selain itu, hikmah wudhuk yang lain ialah;

1- Menghindarkan Diri Dari Kekotoran, Penyakit Dan Kemungkaran

Hal yang paling penting dalam wudhuk adalah simboliknya yang memberikan rasa percaya diri sebagai seorang yang ‘bersih’ dalam menjalankan tuntutan kepada Allah SWT, seperti mendirikan solat, menyentuh atau membaca al-Quran.
Wudhuk juga bertujuan membersihkan diri daripada kotoran najis dan hadas, seperti solat yang membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah serta memadamkan dosa-dosa lalu.

2- Memberi Kecerdasan Minda Dan Menenangkan Jiwa

Ahli kaji saraf (neurologist) juga membuktikan berwuduk yang menyejukkan hujung urat saraf jari tangan dan jari kaki membantu untuk menenangkan fikiran.
Begitu juga dengan titik-titik sensitif yang sering digunakan dalam ilmu akupunktur, terdapat persamaan dengan anggota wudhuk dan rukunnya.

3- Membersihkan Diri Dari Dosa-dosa Kecil

Dengan berwudhuk juga mampu menghapuskan dosa-dosa kecil, begitulah kasih saying Allah kepada hambanya dengan mengurniakan pelbagai cara utnuk menebuskan hambaNya dari dosa-dosa.
Jadi bayangkan jika kita berwudhuk sebanyak lima kali seharisemalam? Bukankah sudah mampu menghakis dosa-dosa kecil terdahulu?

4- Menjauhkan Diri daripada Gangguan Syaitan

Jika marah, berwudhuklah, sesungguhnya ia mampu memadam kemarahan itu. Ini kerana marah itu dari syaitan yang dijadikan dari api manakala wudhuk itu adalah air mustajab yang akan memadam kemarahan itu.

Lalu, wudhuk yang sempurna akan memberi kekhusyukan dalam sembahyang. Sesungguhnya wudhuk yang baik membantu menjadikan solat tersebut lebih baik.


0

Kecil bukan suatu halangan untuk kita mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup. Besar pula bukan bermaksud kita memiliki kuasa untuk memperoleh apa yang kita hajati. Kecil atau besar, itu tidak penting.



Tahukah anda, selain individu atau masyarakat sekeliling dijadikan contoh dalam hidup, terdapat makhluk lain yang boleh kita ambil pengajaran dan teladani kehidupannya, iaitu serangga kecil bernama semut.
Serangga ini juga turut disebut khusus dalam al-Quran, menerusi firman Allah s.w.t dalam Surah an-Naml. Tahukah anda, ‘an-Naml’ itu adalah kata pinjaman dari Bahasa Arab yang bermaksud ‘semut’.
Mengapa semut menjadi pilihan untuk dijadikan contoh atau inspirasi dalam hidup kita? Walaupun kecil, serangga ini memiliki keunikan tersendiri yang dicipta oleh Allah s.w.t. Bahkan, Nabi Sulaiman a.s turut menghormati serangga ini seperti dalam Surah an-Naml 18-19.
Berikut merupakan 10 perkara yang boleh kita pelajari daripada kehidupan semut;

#1 – Bersungguh-sungguh Ketika Bekerja.

Cuba perhatikan apabila semut mengerumuni gula atau membina busut. Masing-masing akan berusaha bersungguh-sungguh antara satu sama lain untuk sama-sama mencapai apa yang mereka inginkan.

#2 – Berhati-Hati Dan Berwaspada.

Dengan saiz fizikal yang kecil, serangga ini akan memastikan mereka berjalan atau melintasi di mana-mana persekitaran terbuka dengan berhati-hati agar tidak dipijak oleh manusia atau binatang bersaiz lebih besar daripada mereka.

#3 – Mendahulukan Kepentingan Umum Daripada Peribadi.

Jarang kita dapati semut berada ‘berseorangan’. Pasti ada di sampingnya semut-semut yang lain. Lebih-lebih lagi, apabila seekor semut menemui makanan, cuba perhatikan pada awalnya hanya seekora sahaja yang berada dekat dengan makanan tersebut. Jangan terkejut apabila tidak sampai 5 minit, banyak semut mengerumuni makanan tersebut.

#4 – Memiliki Keinginan Dan Tekad Yang Tinggi.

Seperti manusia, semut juga punya keinginan dan tekadnya. Walaupun fizikalnya kecil, itu tidak menjadi penghalang buat serangga kecil ini mendapatkan makanan walaupun diletakkan pada aras yang tinggi.

#5 -Sanggup Berkorban.

Untuk mendapatkan sesuatu, serangga ini juga dilihat sanggup mengorbankan dirinya walaupun di tempat yang mempunyai risiko atau bahaya yang boleh mengancam nyawanya. Contohnya, semut-semut ini mengerumuni sampah sarap yang berdekatan dengan api.

#6 – Bijak Menyelesaikan Permasalahan.

Ketika Nabi Sulaiman a.s dan rombongannya melewati kawasan tempat tinggal semut, salah seekor semut segera mengarahkan rakan-rakannya untuk masuk ke lubang tempat tinggal mereka. Tujuannya agar tidak dipijak. Hal ini seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud;
“Wahai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.”Surah an-Naml : 18.

#7 – Bekerja Dengan Teratur Dan Rapi.

Salah satu sifat yang paling sinonim dengan semut adalah teratur dan rapi. Pernahkah anda melihat sekumpulan semut berjalan dengan sangat teratur dan rapi di dinding atau lantai? Menarik bukan? Begitulah cara mereka yang sangat unik berbanding mengatasi serangga yang lain.

#8 – Bertanggungjawab.

Semut tidak pernah meninggalkan kerja yang dilakukan begitu sahaja. Semut-semut ini pasti akan menyelesaikan pekerjaan yang dimulakan itu sehingga selesai.

#9 – Pencapaian Yang Tinggi.

Nabi Sulaiman a.s tersenyum apabila mendapati semut mencapai apa yang mereka inginkan. Senyuman nabi sulaiman itu diiringi dengan doa, agar menjadi hamba yang bersyukur.

#10 – Serius dan Tidak Berputus Asa.

Sikap serius dan tidak berputus asa dalam melaksanakan sesuatu tugasan atau kerja menjadi faktor penting untuk kita capai hasil yang memuaskan. Begitu juga semut, jika diperhatikan mereka sentiasa serius dalam bekerja dan tidak berputus asa.
Cuba ambil sebatang lidi atau apa jua benda untuk menghalang perjalanan semut, apakah yang anda perhatikan? Pasti anda akan dapati, semut tersebut mencari jalan lain untuk meneruskan perjalanannya.
Begitulah antara beberapa sikap dan sifat yang boleh kita contohi melalui serangga kecil ini. Kecil bukan suatu halangan untuk kita mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup. Besar pula bukan bermaksud kita memiliki kuasa untuk memperoleh apa yang kita hajati. Kecil atau besar, itu tidak penting.
Apa yang penting adalah usaha yang berterusan tanpa jemu, sentiasa bersungguh-sungguh, di samping memiliki akhlak yang mulia. Mudah-mudahan, kisah kehidupan semut ini mampu diterapkan dalam kehidupan kita sebagai umat yang dimuliakan Allah s.w.t. 
Wallahua’lam.


0


Adakalanya perkara itu kita suka tetapi pada pandangan Allah ia sebaliknya. Begitu juga ada perkara yang kita tidak suka sedangkan ia membawa diri kita kepada beribu kebaikan.

Allah telah menciptakan kita semua berpasangan sebagaimana diciptakan olehNya Adam dan Hawa. Diterbitkan dalam hati kita akan rasa kasih-sayang dan tenteram bila bersama pasangan masing-masing.
Ingatlah saat kali pertama jatuh cinta, saat kali pertama kasih disimpul sebagai suami dan isteri, kita merasai nikmat yang diandaikan seperti syurga, seperti raja dan permaisuri di atas takhtanya.
Firman Allah s.w.t:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Ar-Rum:21

Di dalam sebuah perkahwinan, pasti akan ada salah faham. Ia adalah hakikat kehidupan dan berlaku kepada setiap orang. Hanya kita yang boleh menjaga ia dengan sifat sabar dan memaafkan.
Kita halang dan tentang semua kejahatan, semua permainan syaitan yang sentiasa mahukan permusuhan dan perpisahan. Hal yang kecil usah diperbesarkan. Manakala hal yang besar, sama-sama fikirkan jalan penyelesaiannya.
Sifat yang buruk tidak akan pernah menang dengan sifat-sifat yang baik. Kejahatan sudah menempatkan diri di dalam neraka manakala kebaikan sudah terkenal sebagai ahli di dalam syurga. Maka buanglah semua yang keruh, ambil semua yang jernih.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar.”
Fussilat: 34-35

Janganlah kita merosakkan sebuah hubungan dengan cara yang dibenci atau menyakiti pasangan. Juga janganlah kita menyokong perkara yang dicela yang dilakukan oleh pasangan atas dasar menjaga hati. Kelak, kita pula yang akan dibenci Allah s.w.t sedangkan apa yang ada di dunia ini hanyalah pinjaman dan amanah yang perlu ditunaikan sebagai hamba Allah.
Allah Maha Mengetahui sedangkan kita hanyalah ciptaan yang hidup dengan kasih-sayangNya. Maka tidak semua perkara berada di dalam pengetahuan kita. Adakalanya perkara itu kita suka tetapi pada pandangan Allah ia sebaliknya. Begitu juga ada perkara yang kita tidak suka sedangkan ia membawa diri kita kepada beribu kebaikan.
Begitu juga hidup dengan pasangan yang berbeza latar belakang dan cara didikan. Pasti ada yang membuatkan kita tidak berkenan di hati. Hadapilah ia dengan sabar dan hikmah. Yakinlah adanya kebaikan dalam suatu hal. Setiap hari, akan ada sahaja hal baru yang kita pelajari dalam diri pasangan. Hidup ini sentiasa ada perubahan. Maka, tanamkan sifat saling-memahami dalam diri masing-masing.
Firman Allah s.w.t;
“Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”
An-Nisa’: 19

Firman Allah s.w.t yang bermaksud;
“Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula).
Ar-Rahman: 60

Binalah cinta berasaskan jalan-jalan kebaikan dan keyakinan kepada Allah. Jadikan perkahwinan dengan tujuan mendapat redha Allah agar nikmat ibadat dapat dirasai, seterusnya memimpin diri masing-masing ke syurga yang kekal abadi.


0
loading...

Total Pageviews

Formulir Kontak

Name

Email *

Message *