“Siapa perlukan superhero, jika kita ada ibu?”
Itulah persepsi yang wujud. Ibu adalah superhero, supermama, dan segala-galanya super.
Hakikatnya, seorang ibu juga hanya manusia biasa. Kita kadangkala menangis keletihan, terlelap tatkala berfikir mahu melipat timbunan baju atau mencuci pinggan di dapur. Kita juga berharap kita cantik dan manis seperti Lisa Surihani, namun, ia kekal sebagai angan-angan.
Lelahkah menjadi seorang ibu sehingga ia membawa pergi senyuman dari wajah kita?
Masih ingat lagi senyuman lebar kita sewaktu melihat anak kita buat kali pertama di dunia ini? Anak-anak sebenarnya adalah penyeri hidup kita. Mereka perlukan kita tersenyum lebar seperti itu setiap hari!
Ingin jadi ibu yang lebih gembira? Apa kata tiru 15 cara ini pada hari-hari yang kita kelam dan penuh drama itu.
1. Rockstar
Setiap dari kita pasti ada lagu kegemaran kan? Selain daripada menjadi rockstar di rumah kerana sentiasa dipanggil ‘peminat’, apa kata terus nyanyikan lagu untuk mereka. Simpan CD di dalam kereta, tutup tingkap rapat-rapat dan mula menyanyi!
2. Run Forrest Run!
Sesekali, curi masa untuk berlari di taman. Meskipun kita sangat perlahan tetapi bersenam akan membebaskan hormon gembira. Jika perlu bawa teman, tolak stroller atau bawa basikal mereka sekali. Mereka akan semakin cergas dan kita pula pasti semakin laju. Ini situasi menang-menang untuk kita dan anak-anak kita!
3. Hello, boleh tolong saya?
Ada hari-hari tertentu, kita teringin keluar menonton wayang bersama si cinta hati, atau mungkin berjumpa kawan-kawan lama. Maka, kita minta bantuan ahli keluarga bagi menjaga anak kita buat seketika. Sebut perkataan magik iaitu “Please” atau “Tolong”, dan berhenti jadi supermama. Hakikatnya, supermama pun perlu cuti tahunan juga.
4. Saya maafkan!
Menjadi ibu, akan ada hari yang semua perkara serba tidak kena di mata kita. Mainan anak bersepah, pergaduhan Ultraman tidak henti-henti dan kadangkala menyesakkan dada. Lalu, kita pun terkeluar perkatan yang kita tidak maksudkan. Hal ini mungkin menyedihkan kita. Namun, tetap maafkan diri sendiri juga. Bukan selalu pun kita berkelakuan begitu.
5. Lima minit sahaja!
Setiap kali ada perkara tidak terkawal berlaku, larikan diri selama 5 minit. Capai majalah kegemaran yang baru dibeli, masuk ke dalam bilik, kunci pintu dan baca. Biarpun ada ketukan bertalu-talu pada pintu, nikmati sahaja 5 minit itu. Hadapi segala cabaran masa depan selepas 5 minit itu.
6. Nasi lemak, Kopi O
Kevin Zahri pun bersetuju, ada hari yang kita perlukan sebagai cheat day. Meskipun kita perlu berdiet kerana metabolisma tidak seperti dahulu, sekali-sekala usahakan makan makanan kegemaran kita. Lupakan kalori, diet, lemak jahat dan sebagainya. Nikmati sahaja makanan kita dengan senyuman.
7. Romantika
Benar, selepas anak tercinta datang dalam hidup kita, kasih akan mula terbahagi dua. Anak dan suami sama-sama menuntut perhatian kita. Namun, jangan lupa pada si dia. Curi masa berdua-duaan sewaktu mendobi baju, atau mungkin ketika berkebun. Boleh juga dating sewaktu makan, dan telefon dia semata-mata mahu berkata “Hai, saya rindukan awak!”. Biar si dia sedar kita sentiasa perlukan dia.
8. Senyum selalu
Ibu sentiasa dibebani rutin, jadual, pesanan guru-guru dan sebagainya sehingga kita lupa bagaimana mahu tersenyum. Apabila anak-anak menduga kita, katakan “Budak bertuah!” dan senyum! Seteruk mana pun situasi, tetap boleh jadi manis apabila kita ingat betapa perangai kita dahulu pun begitu juga. Jadi, senyum selalu sahaja!
9. Masa untuk keluar!
Kita tahu kita seorang ibu apabila aktiviti window shopping seorang diri sudah sama seperti percutian ke hotel lima bintang. Boleh jadi kita keluar ke kedai, kenduri, atau percutian singkat, tinggalkan sahaja rumah kita buat seketika. Pakai sunglasses, dan nikmati pemandangan yang ada.
10. Tidur yang lena
Anak kita bukan sahaja mencuri hati kita, tetapi tidur juga. Usahakan tidur pada masa yang tetap setiap hari. Biarkan sahaja sinki penuh dan bakul baju kotor menunggu kita. Tidur yang lena pasti membuatkan kita lebih segar bagi menghadam idea si kecil dan menyelesaikan urusan rumah yang tertangguh.
11. Me Time!
Menggembirakan diri sendiri kadangkala tidak memerlukan orang lain. Cara paling mudah antaranya membeli bunga segar untuk diri sendiri, makan di kafe pilihan atau membeli buku idaman. Buatlah perkara yang sering menggembirakan kita sejak dahulu lagi. Jadikan hal ini rutin, dan lakukan sebulan sekali.
12. Best Friends
Persoalan mahu masak apa atau sudah siapkah kerja sekolah anak kadangkala membunuh kebahagiaan kita. Kongsikan dengan kawan yang sudi mendengar dan memahami situasi kita. Sememangnya, seorang ibu hanya mahu bercerita. Simpan nombor kawan baik kita dan telefon sahaja mereka apabila perlu.
13. Momster, love me!
Kita melihat kehidupan orang lain sungguh sempurna sedangkan kita tidak sedar apa yang ada dalam dakapan kita, itulah perkara tidak ternilai. Hargai suami dan anak-anak kita seadanya. Pada saat kita menjadi momster, mereka tetap menyayangi kita. Itulah kasih-sayang tanpa syarat.
14. Bear hugs
Walau ada 1001 tip gembira sekalipun, ada waktunya kita kalah juga. Jadi, dapatkan bear hugs ini daripada anak kita. Pelukan ini ada kuasa hebat kerana ia suci dan penuh kasih-sayang. Jadikan hal ini sebagai tradisi keluarga. Ketika gembira, peluk saya. Ketika sedih pun, peluk saya juga!
15. Cantik seperti Lisa!
Ibu yang gembira adalah ibu yang selesa dengan dirinya. Meskipun pada wajah ibu itu, ada garis halus pada hujung mata, atau mungkin penimbang pun tidak mahu memberi kerjasama, percayalah kita sudah berusaha lakukan yang terbaik. Jaga kesihatan dan kecantikan diri semata-mata kerana keluarga dan diri kita juga.
Menjadi seorang ibu adalah sebuah kisah cinta yang berpanjangan.
Kita sangat menyayangi anak-anak kita, bermula dengan kaki mereka selebar 2 jari, sehinggalah jari-jari kita melepaskan mereka pergi pada suatu hari nanti.
Kita tidak sempurna, malah, ada kalanya kita terlepas saat pertama mereka berjalan. Kadangkala, kita tertinggal keretapi tentang cerita-cerita mereka. Kadangkala juga, kita tenggelam dalam usia yang sentiasa bergerak meniti masa, dan rasa bersalah yang berpanjangan.
Namun, anak-anak kita tidak pernah memerlukan kita menjadi seorang ibu yang sempurna, sebaliknya cukuplah dengan menjadi seorang ibu yang gembira.
Jadi, berhenti menjadi super, let yourself loose dan biarkan mereka bergembira bersama kita dan membina memori.
Nikmati hidup ini dan cari pelangi!
KONGSIKAN TAZKIRAH INI
No comments:
Post a Comment