Pepatah
arab ada menyebut semua orang mengaku kekasih Laila tetapi Laila sendiri tidak
mengakuinya. Ramai orang kerap kali terjatuh dalam perangkap cinta dan terpalit
dengan noda dan fitnahnya apabila Si Dia, baik lelaki mahupun perempuan
mengungkapkan kata-kata hikmat yang berbunyi “Aku cintakan diri-Mu kerana Allah !” Aduh ! Perkataan
yang indah tetapi kerap disalah guna.
Jika
kaca yang dipegang maka akan pecah kerana jatuh terhempas, jika kita sedang
berdiri akan segera ingin mencari tempat duduk dan jika kita tengah duduk akan
segera mahu berdiri dan mencari udara segar guna memaksa oksigen masuk ke dalam
tubuh kerana sesak dan berat di dada sehingga menyukarkan pernafasan.
Jantung
berdegub laju dan tangan menjadi sejuk.
Itulah tanda-tanda awal
virus cinta sudah mula berjangkit dan sedang menular ke dalam badan dan hanya
akan dapat dilegakan dengan berdekatan dengan orang yang dicintai.
Lalu
apa yang harus dilakukan ? Pasrah dan menerima cinta kerana ianya adalah kerana
Allah seperti yang diucapkan atau berhenti dahulu dan meneliti ucapan tersebut
benarkah ia cinta dari Allah atau merupakan salah satu dari jerangkap samar
syaitan ?
Firman
Allah SWT :
“Wahai
orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu
berita, maka periksalah (kebenarannya) dengan teliti, agar kamu tidak
menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang
menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6)
Dalam
Islam, kita disuruh memeriksa dan menilai apakah benar setiap sesuatu ucapan
atau khabar yang disampaikan sebelum mengambil tindakan atau membuat keputusan.
Hal ini disebut sebagai konsep “tabayun” atau bermaksud mencari penjelasan atau
keterangan.
Hal
ini amatlah penting agar kita tidak ditipu atau terjebak dengan perangkap Iblis
yang sedang menanti di hujung jalan untuk memancing kita ke dalam neraka
bersama-sama dengannya. Sebelum membuat keputusan apakah akan diserahkan tubuh
badan, hati dan perasaan maka lebih baiklah dilakukan usaha memeriksa dan
menyemak terlebih dahulu benarkah kalimah itu diucapkan iaitu:
Aku
cinta kepada Mu kerana Allah SWT !
Cinta
kerana Allah SWT itu mempunyai satu kedudukan yang istimewa kerana di dalam
hadis Abu Hurairah ra menyebut katanya Rasulullah salallahualaihiwassalam
bersabda :
“Sesungguhnya
Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat: “Manakah orang-orang yang saling
cinta-mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka akan Aku beri naungan
pada hari yang tiada naungan melainkan naunganKu.” (Riwayat Muslim)
Di
dalam sebuah hadis yang lain, nabi salallahualaihiwassalam juga pernah bersabda
:
“Jika
seseorang dari kamu mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahunya.”
(riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ahmad serta Bukhari di dalam tarikhnya dengan
makna yang sepertinya)
Kita
juga disunnahkan untuk membalas ucapan cinta itu dengan doa yang berbunyi :
أحبك
الله الذي أحببتني فيه
Maksudnya
: “Semoga Allah mencintai kamu yang telah mencintaiku keranaNya.” (riwayat Abu
Daud)
Hadis-hadis
berkenaan cinta ini begitu banyak sebab Islam ialah agama yang menitik-beratkan
persoalan kasih sayang dan kehormonian sesama Insan. Namun kita masih perlu
menilai dan meneliti apakah cinta yang dihulurkan itu benar-benar madu dan
rezeki daripada Allah SWT atau sebenarnya ialah racun dan umpan dari syaitan.
Bukti
Cinta kerana Allah
Ada
5 bukti penting dan tanda utama yang dapat dikenal pada seseorang yang
benar-benar mencintai kita kerana Allah SWT. Ini dapat dilihat dari hasil
taddabur kita kepada ayat-ayat Al-Quran dan melalui penilaian kepada
hadis-hadis nabawiyah.
Pertama
:
1. DIA adalah seorang yang amat mencintai Allah
Adalah
mustahil seseorang itu berkata dia mencintai kita kerana Allah SWT tetapi dalam
masa yang sama dia amat jauh dari jalan Allah dan seringkali melakukan dosa dan
maksiat kepada Allah SWT.
Cinta
itu dibuktikan dengan perbuatan maka lelaki dan wanita yang mengatakan kepada
anda bahawa dia mencintai kerana Allah juga akan membenci kerana Allah SWT dan
membenci segala apa yang dimurkai oleh Allah SWT dari segala jenis dosa dan
maksiat.
Nabi
salallahualaihiwassalam bersabda : “Tiga perkara yang jika terdapat pada
seseorang maka dia pasti akan merasai kemanisan Iman. Iaitu Dia mencintai Allah
dan rasul-Nya lebih dari selainnya. Dia mencintai atau membenci sesuatu hanya
kerana Allah dan dia amat membenci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia
tidak suka dicampakkan ke dalam api.” (hadis riwayat Bukhari)
Lihatlah
pada diri lelaki yang mencintai anda kerana Allah itu apakah dia seorang yang
teguh agamanya, kukuh aqidahnya, penyabar, kuat tawakkal, selalu mencintai anak
yatim dan membela yang lemah atau dia sebenarnya seorang yang hanya pandai
berborak sahaja.
Lelaki
yang soleh pasti akan kelihatan di masjid dan ketika ada orang yang berada
dalam kesusahan maka disitulah dia akan dapat ditemukan.
Perkara
yang sama terjadi kepada kepada lelaki yang benar-benar mahu mengenali para
wanita muslimah solehah itu. Ianya tidak hanya dengan sekadar ucapan di bibir
atau pada teks sms dan copy paste di blog dan Fb si gadis.
Lihatlah
auratnya apakah ditutup, lihatlah peribadinya apakah terpelihara dan dijaga
kemudian lihatlah pemikirannya apakah dia seorang Muslimah yang hidup untuk
dirinya atau dia hidup untuk Allah SWT.
Caranya
tidak susah. Mana-mana muslimah yang hidup untuk Allah akan sanggup menerima
poligami dan menghormati hak-hak lelaki yang Allah berikan kepada mereka . Si
DIA akan tunduk serta patuh kepada hukum Allah dan lebih banyak bertolak ansur
serta berusaha memahaminya dari berusaha mempertikaikannya.
Jangan
terleka dan tergoda oleh rupa dan pakaian kerana syaitan itu amat bijak dengan
tipudaya dan jalan-jalan kesesatan.
Kedua
:
2. Cinta kerana Allah terbit dari sebab ketaatan
Pasti
ada sebab si DIA cintakan kita kerana Allah dan apakah sebab-sebab itu adalah
terhasil dari kerana ketaatan kita kepada Allah SWT atau kerana kemaksiatan
kita kepada-Nya ?
Jika
cinta yang diungkapkan itu adalah kerana ketaatan kita kepada Allah SWt maka
ianya adalah jenis dari bahagian cinta-cinta yang suci dan datang atas kerana
rahmat daripada Allah SWT kepada hamba-hambaNya.
Ada
wanita jatuh cinta kerana si lelaki itu kuat berdakwah dan menjadi Imam
sukarela secara percuma. Ada lelaki terjatuh hati kerana melihat si wanita itu
tegas dan teguh mempertahankan maruah dan auratnya dari dicabuli. Maka
jenis-jenis cinta seperti itu memenuhi kehendak cinta yang dilakukan kerana
Allah SWT.
Tanyakan
SI DIA kerana apakah kamu mencintai saya ?
Jika
jawapannya memenuhi jenis cinta yang berdasar dari ketaatan kepada Allah SWT
maka ianya adalah dari Allah dan jika ianya berdasarkan dari sebab-sebab
kejahatan dan kemaksiatan maka ianya dari syaitan.
Ini
dapat diketahui dengan mudah jika kita sendiri menyedari akan kesalahan yang
telah kita lakukan. Misalnya jika wanita itu tidak menjaga auratnya, tidak
memelihara dirinya dari fitnah seperti tampil di khalayak ramai dalam rancangan
TV menjadi wanita pilihan dengan bertabarruj dan “berposing kiri dan kanan”
memaparkan kecantikan maka jika datang lelaki menghulurkan cinta kerana
tertarik dan jatuh hati atas kecantikan itu maka ianya bukanlah dari ketaatan
bahkan kemaksiatan dan berpunca dari kedegilan kita dalam mentaati syariat
Allah SWT.
Wanita
yang solehah tidak akan mendedahkan kecantikannya seperti lelaki yang bertaqwa
tidak akan murah menampilkan kebaikan dirinya atau menunjuk-nunjuk kewarakan
dan kesolehannya.
Tanyalah
diri anda, apakah dosa atau ketaatan yang telah dilakukan sehingga melayakkan
diri ini menerima ungkapan AKU CINTA DIRMU KERANA ALLAH !
Ketiga
:
3. Mencintainya kembali menambah kebaikan dan kemuliaan serta
mendekatkan kita kepada Allah
Orang-orang
yang benar dalam cintaNya kepada Allah mereka ini mempunyai kelebihan dan merupakan
orang-orang yang benar-benar beriman. Mencintai mereka itu nescaya akan
memberikan kebaikan dan menambahkan kemuliaan serta menambahkan kedekatan kita
dengan tuhan.
Ini
disebabkan di dalam sebuah hadis dari jalan Abu Hurairah ra yang menyebutkan
bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Jikalau Allah Ta’ala itu
mencintai seseorang hamba, maka Dia pun memanggil Jibril lalu memberitahu
bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu (Wahai Jibril) si Fulan
itu. Jibril pun lalu mencintainya, kemudian Jibril menyeru kepada seluruh
penghuni langit seraya memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka
cintailah olehmu semua (Wahai penghuni-penghuni langit) si Fulan itu. Maka para
penghuni langit pun kemudian mencintainya. Setelah itu dijadikan seluruh
penghuni bumi pun ikut menerimanya (mencintainya).” (hadis Muttafaq alaih)
Lihat
dan perhatikanlah apakah di wajah orang yang mengatakan Aku cinta pada-Mu
kerana Allah itu membuatkan anda teringat kepada ajaran Islam, kepatuhan kepada
Allah SWT, kedahsyatan hari akhirat serta dosa dan pahala atau sebaliknya hanya
mengundang kepada ingatan nafsu syahwat dan pelukan serta dakapan di atas
tilam.
Cinta
yang suci tidak akan mampu dibakar oleh api sebaliknya ia hanya akan memadamkan
api demikianlah cinta yang sejati tidak akan datang kerana syahwat tetapi ianya
pasti akan mampu memenuhi keperluannya.
Ke-empat:
4. Cinta dan hubungan dengan Si DIA jauh dan terpelihara dari kelalaian
dan dosa
Diantara
ciri-ciri yang mustahak di dalam penilaian kebaikan seseorang ialah ianya tidak
mengundang bahaya atau kemudharatan. Daripada Abu Said Al-Khudri ra bahawa
rasulullah SAW pernah bersabda : “Tidak boleh melakukan kemudharatan dan tidak
pula boleh mengundang kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).” (hadis
riwayat Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi)
Ini
kerana tipu daya dan muslihat syaitan itu amat licik. Terkadang dia sengaja
memalsukan kejahatan itu agar dilihat sebagai kebaikan atau kemuliaan.
Syaitan
itu sendiri tahu untuk mengoda orang yang soleh itu tidak harus dengan maksiat
dan kejahatan tetapi digoda dengan kebaikan dan kezuhudan agar si soleh itu
menjadi sesat kerana riya’ atau ujub (kagum)dan ghurur (tertipu) dengan dirinya
sendiri.
Mujahid
bin Abi Mu'ammar meriwayatkan bahawa suatu hari pernah ada seseorang yang
memuji seorang pemimpin. Kemudian Miqdad ibnul-Aswad pun menaburkan tanah ke
mukanya, lalu berkata:"Rasulullah memerintahkan kami untuk menaburkan
tanah kemuka orang yang suka memuji." (riwayat Muslim)
Imam
Ibn Jauzi al-baghdadi dalam kitabnya Talbis Al-Iblis ada menyebutkan mengenai
cara Iblis membelit ahli ibadah dan menjadikan mereka jauh daripada Allah
melalui menampakkan kebaikan dan kelebihan diri mereka sehingga menjadi ujub
dan kagum atau ibadah mereka lalu menjadi lalai kepada Allah dalam keadaan
mereka menyangka bahawa mereka itu sedang beribadah.
Sabda
rasulullah salallahualaihiwassalam : "Kamu tidak akan selamat hanya oleh
amalanmu sahaja." (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Apabila
anda berhadapan dengan lelaki atau wanita yang mengucapkan kata-kata cinta yang
suci menggunakan nama Allah SWT maka lihatlah apakah ianya membawa fitnah dan
kelalaian atau memberikan manfaat kebaikan dan menjauhkan diri dari dosa.
Ramai
orang terkena belitan syaitan apabila terpedaya kononnya bercinta kerana Allah
SWT namun apabila sudah ber“couple” dan bercinta semua larangan Allah
dilanggarnya.
Bertudung
labuh dan berkopiah tetapi berdua-duaan ditempat yang tidak diredhai Allah kerana
cinta dan perasaan akhirnya syariat Allah menjadi gadaian.
Ada
orang yang baik, lelaki muslim dan wanita yang muslimah pada asalnya mahu
bercinta kerana Allah tetapi dipertengahan jalan mereka ditipu oleh syaitan.
Akhirnya kerana sudah pun terlanjur berpegangan tangan, bercium dan melakukan
maksiat ringan masing-masing berpendapat kita sudah tiada jalan kembali kecuali
terus terjebak dalam hubungan haram ini.
Allah
itu maha pengasih dan pengampun, setiap kali terlanjur dan tersilap dalam
perjalanan maka segeralah lakukan U-TURN sementara nyawa masih dikandung badan.
Pintu taubat sentiasa terbuka dan segeralah rayu dan memohon keampunan
daripada-Nya.
Janganlah
terpedaya oleh syaitan yang sentiasa merayu peluang kedua dari manusia agar
sekali lagi melakukan dosa. Sekali lagi sahaja, Cuma sekali lagi katanya yang
merayu supaya terus melakukan dosa lalu terperangkap di dalamnya.
Kelima
:
5. SI DIA tidak mengharapkan balasan kecuali dari Allah
Cinta
yang suci itu ialah cinta yang hanya tahu memberi tetapi tidak mengharapkan
apa-apa sebagai balasan. Mereka ini seperti yang disebutkan oleh Allah SWT di
dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu
hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan
dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” (Al-Insan : 9)
Jika
benar si DIA mencintai Mu kerana Allah maka bergembiralah kerana kalian
benar-benar mahukan syurga dan tidak kisah dengan siapa berakhirnya hubungan
ini. Apakah dia menjadi milikmu atau kamu menjadi miliknya hal itu bukanlah
isunya tetapi apakah Si DIA dan kamu masing-masing beroleh kasih sayang dan
keampunan dari Yang Maha Esa.
Sabda
nabi salallahualaihiwassalam : “ Barangsiapa yang mencintai kerana Allah dan
membenci kerana Allah serta memberi kerana Allah atau menghalang kerana Allah
maka telah sempurnalah Imannya.” (hadis riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh
Syeikh Albani)
Lelaki
dan wanita yang saling mencintai kerana Allah SWT lebih takutkan Allah dan
lebih mencintai Allah dari diri mereka sendiri dan secara pastinya mereka
mencintai satu sama lain hanya semata-mata kerana hubungan masing-masing dengan
Allah SWT.
Lelaki
yang beriman dan benar-benar mengasihi seorang gadis kerana Allah akan sentiasa
mahu wanita itu terpelihara dari dosa dan mahukan kebaikan serta rahmat Allah
SWT ke atasnya.
Jika
dia mahu mengahwini gadis itu maka hasratnya itu adalah kerana mahu melindunginya,
mahu mengasihi dan memanfaatkannya di jalan Allah SWT. Adapun jika ada lelaki
lain yang terlebih dahulu hadir dalam kehidupan wanita itu maka dia akan
sentiasa mendoakannya dan mengharapkan kebaikan di antara kedua-duanya.
Hatinya
Ikhlas dan hanya mengharapkan balasan dari Allah SWT.
Nabi
Salallahualaihiwassalam bersabda :“Doa seorang muslim kepada saudaranya di
belakang pengetahuan saudaranya pasti dimakbulkan. Di atas kepalanya akan ada
malaikat yang menjaganya dan setiap kali dia berdoa untuk kebaikan kepada
saudaranya itu maka malaikat pun ikut berkata “Amin” dan mendoakan supaya
baginya juga mendapat serupa apa yang telah didoakan kepada saudaranya.”
(riwayat Muslim)
Inilah
sifat orang yang beriman dan menjadikan Allah sebagai matlamat dan tujuan.
Mereka tidaklah menjadikan cinta kepada wanita, lelaki, teman dan kekasih
mereka itu sebagai sekutu atau saingan dan tandingan kepada Allah SWT bahkan
sebaliknya ia menjadi baja dan air yang menyuburkan keimanan mereka serta
sokongan kepada ketaqwaan mereka.
Firman
Allah yang bermaksud : “Dan (aku telah diperintah): "Hadapkanlah mukamu
kepada agama dengan tulus dan ikhlas dan janganlah kamu termasuk orang-orang
yang musyrik.” (Yunus : 105)
Mereka
inilah yang termasuk dalam hadis nabi yang bermaksud : “ Manusia yang paling
bahagia di hari akhirat dengan syafaatku kelak ialah yang berkata
“Lailahaillallah” Ikhlas daripada hati dan dirinya.” (hadis sahih riwayat
Bukhari)
Syaitan
tidak mampu menggoda mereka bahkan oleh wanita yang paling cantik jelita atau
oleh lelaki yang paling kacak dan tampan sekalipun. Takala dikatakan oleh
Syaitan tidak takutkan kamu jika jarang bertemu atau bersms dengan kekasihmu
itu nanti dia akan mencari atau dipikat oleh lelaki lain ?
Orang
ini akan berkata : “Alhamdulillah, daripada Allah kita datang dan kepada
Allah-lah kita akan kembali. Jika benar begitu maka saya akan mempermudahkan
urusannya, membantunya agar dapat menikahi gadis yang ku sayangi ini jika benar
lelaki yang lain itu adalah yang terbaik untuknya.”
Sesungguhnya
saya mencintainya hanya kerana ALLAH ! Mohon disebarkan artikel ini jua kerana
Allah !