Soalan : Apakah hikmah diharamkan bersetubuh dengan
isteri yang dalam haid?
Jawapan : Antara
hikmah pengharamannya ialah, ia boleh mengakibatkan penyakit kepada suami dan
juga isteri. Banyak kajian saintifik yang dilakukan, membuktikan larangan Islam
ini ada kewajarannya.
Wanita dalam haid sebenarnya mengalami perubahan
hormon dalam badannya. Saluran darah di rahim dan faraj akan mengembang. Oleh
kerana saluran darah adalah amat lembut, ia mudah pecah apabila berlaku
kemasukan zakar pada faraj dan pangkal rahim.
Teori perubatan memperakui bahawa darah haid ada
unsur-unsur penyakit. Dr. Muhammad Ali al-Bar dalam bukunya Daurah
al-Arham (Fungsi Rahim) di bawah tajuk Haid Sebagai
Penyakit menyatakan : “Keseluruhan dinding penutup rahim
terpercik sepanjang tempoh haid. Setelah meneliti darah haid melalui kanta,
kita dapat melihat pad titisan darah merah dan putih, terdapat kepingan dinding
penutup rahim dan rahim menjadi luka bagaikan kulit yang mengelupas.”
Menurutnya lagi, “Oleh itu, rahim terdedah
kepada serangan bacteria. Darah merupakan medium yang paling mudah untuk
bakteria membiak. Semasa haid keluar, daya ketahanan rahim menjadi lemah untuk
menghadapi serangan bakteria. Bakteria yang terdapat pada permukaan zakar boleh
menyebabkan bahaya besar kepada rahim. Ia bertambah bahaya lagi apabila daya
ketahanan rahim untuk melawan bakteria sangat lemah ketika haid kerana sangat
sedikit proses pengasingan saluran fallopio berasid yang membunuh bakteria.”
Persetubuhan semasa haid juga boleh menyebabkan
radang rahim dan radang saluran fallopio yang membawa kepada
kesakitan sepanjang hayat dan sukar diubati malah merebak kepada penyakit lain
seperti :
·
Radang yang berlanjutan kepada dua ovari pada
rahim.
·
Radang yang berlanjutan ke saluran kencing.
·
Rasa kesakitan yang sangat kuat ketika haid.
·
Daya ketahanan yang berkurang.
·
Keinginan seks yang semakin berkurang dan cenderung
untuk bersendirian.
·
Penyakit berjangkit kepada pasangan lelaki
khususnya kebengkakan yang memberi risiko kepada organ kencing.
·
Kepeningan atau migrain.
Benarlah firman Allah SWT,
وَيَسْأَلُونَكَ
عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ
ۖ وَلَا
تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ
اللَّـهُ ۚ إِنَّ
اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ ﴿٢٢٢﴾
Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai
Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda
yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah
kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu)
dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk
bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka
datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.
SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi
orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah
al-Baqarah: 222)
Walaupun ia adalah kotor, namun Islam tidaklah
menyuruh supaya menyisihkan isteri ketika haid sebagaimana yang dilakukan oleh
kaum Yahudi. Mereka tidak mahu makan bersama, tidur bersama, malah tidak mahu
isteri tinggal bersama ketika dalam haid. Nabi SAW sendiri pernah makan dan
tidur bersama dengan isterinya ketika isterinya dalam haid. Ini menzahirkan
bagaimana Islam memuliakan wanita walaupun dalam keadaan haid. Wallahua’lam.
Akhukum Fillah
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti
Wilayah Persekutuan
No comments:
Post a Comment