adnow



loading...

IKLAN

Friday, July 14, 2017

Awas Kaum Wanita!!! Sila Baca…Bila-bila Masa Jantung Boleh 'Shut Down', Wanita Ini Kongsi Detik Cemas Hidap PPCM



Pernah mengalami simptom yang sama dengan kes viral seorang guru dalam pantang yang meninggal dunia minggu lalu, wanita bernama Aida Azura Azemi ini tampil menjelaskan pengalamannya mengalami penyakit serupa, yang dikenali sebagai Peripartum Cardiomyopathy (PPCM).

Tarikh 6 Julai 2017 pasti masih basah di ingatan rakyat Malaysia. Kes kematian seorang guru di Kulai, Johor, Siti Rohana Redzuan sewaktu masih berpantang cukup menyayat hati. 

Jenazah guru itu ditemui tidak bernyawa di sisi anak kecilnya yang berusia 19 bulan dan 1 bulan oleh suaminya yang baru pulang bekerja.

Bukan kerana pendarahan pasca Caesarean. Bukan juga sebab terpaksa menguruskan anak-anak seorang diri semasa berpantang. Keputusan post mortem mendapati punca kematiannya akibat masalah jantung dan paru-paru berair. Perkongsian wanita ini yang turut melalui keadaan yang hampir sama menjelaskan tentang risiko PPCM terhadap wanita seperti arwah Siti Rohana.

Daripada Facebook: Aida Azura Azemi
==============================

WARNING: Panjang dan topik boring.. tapi bacalah kejap kalau anda sedang mengandung.
Segala-galanya bermula dengan rasa letih luar biasa. Dalam keadaan sarat membawa kandungan, boleh dikatakan waktu itu hampir setiap hari aku perlu memandu dan habiskan masa di meja kerja siapkan beberapa proposal. Akur bahawa tempoh mengandung boleh jadikan seorang perempuan lebih mudah letih, tapi kali ini letihnya memang luar biasa. Bukan sekali, aku memandu sambil mengalirkan air mata namun dipaksakan jua kudrat kerana sangka itu cuma perasaan malas yang tak boleh terlalu dilayan.

Seterusnya tangan tiba-tiba rasa kebas. Bagi mereka yang banyak menaip, sindrom Carpal Tunnel bukan sesuatu yang pelik. Ianya normal berlaku terutama masa mengandung kesan daripada saluran darah yang kian mengembang. Ini pun satu bentuk siksaan yang cuma Tuhan saja tahu. Demi siapkan kerja aku menaip sambil pergelangan tangan diikat untuk hilangkan rasa kebas yang mengganggu pergerakan jari. Kebasnya pun luar biasa, hingga mengganggu tidur dek sakit berdenyut-denyut.

Seksanya mengandung kali ini memang Tuhan saja yang tahu. Apabila tidur terganggu maka fikiran pun sama. Tapi mengenang semua sakit yang dirasa demi mendapat anugerah paling hebat, aku kuatkan semangat. Di trimester akhir kandungan, kaki kian membengkak. Mengandung sebelum ini pun bengkak juga tapi kali ini melampau pulak rasanya.

Tidur terus terganggu, selain kebas melampau pada pergelangan tangan rasa sakit pada bahu dan tengkuk sering mengganggu. Apa yang mampu dibuat cuma letakkan balm panas dan urut atau keruk gunakan duit syiling. Urat di tangan turut timbul dengan sangat jelas hingga mak pun ada tegur tentang ini.

Tak lama kemudian tidur semakin payah hinggakan pada satu tahap terpaksa tidur sambil duduk kerana bila berbaring ianya ganggu pernafasan hingga terjaga ketika tidur belum pun cukup lama. Hampir setiap malam aku menangis kerana sakit pada bahu dan tangan, kadang-kadang sampai tertidur di meja kerana terlalu letih.

Kesannya (aku fikir) darah naik mendadak. Daripada tak pernah ada darah tinggi bacaan jadi melampau sampai cecah 160 (atas). Beberapa kali ke bahagian kecemasan hospital namun darah kemudiannya turun semula ke normal dalam masa sehari.

Pernafasan terus bermasalah. Aku selalu tercungap-cungap hinggakan pernah ketika lakukan satu presentation untuk client, terpaksa berhenti seketika dan minta maaf kerana semput. Balik dari presentation hari itu aku berhenti sekejap tepi jalan dan menangis semahunya sebab dapat rasakan ada sesuatu tak kena pada diri.

Satu hari, aku rasa pernafasan kian pendek hingga dada jadi sempit. Waktu itu batuk dah hampir seminggu. Cadangnya ke klinik mahu check batuk sahaja tapi disebabkan nafas kian mencungap destinasi ditukar terus ke hospital.

Oleh sebab sesak nafas, ujian echo dijalankan dan inilah saatnya punca sebenar simptom kaki bengkak, sakit bahu, batuk dan sesak nafas diketahui. Selama ini apabila darah naik terlalu tinggi aku dijangka mengidap pre-eclampsia namun ujian jantung mengesahkan sebaliknya.
Penjelasan bahasa mudahnya begini - apabila mengandung darah jadi pekat lebih daripada biasa. Injap jantung terpaksa bekerja lebih keras. 

Sampai satu tahap apabila ianya tak mampu lagi maka beberapa signal ditunjukkan pada badan supaya kita mengerti. Apabila kita tak faham dan paksakan juga lama kelamaan otot jantung menjadi lemah dan tidak dapat mengepam darah secara efisyen sekaligus menurunkan fungsi organ lain seperti paru-paru dan hati. Sebab itulah darah naik turun macam yo-yo dan paru-paru digenangi air hingga muncul batuk dan sesak nafas.

Apa yang menyedihkan, sakit diberi nama Peripartum Cardiomyopathy (PPCM) ini tidak seglamer kondisi bahaya lain seperti eklampsia, diabetes gestasional, placenta previa dan sebagainya kerana kaki bengkak, mudah mengah dan nafas semput biasa berlaku ketika mengandung. Sedangkan apabila jantung sudah bengkak maka risiko kematian akan semakin tinggi jika si ibu melalui proses kelahiran tanpa pantauan atau tidak diberi ubatan sepatutnya. Cara kelahiran yang digalakkan buat pesakit PPCM ialah kelahiran yang 'kurang stres' secara normal, di mana sebelum itu bakal ibu akan dipantau secara rapi tahap kesihatannya.

Apabila dikesan memiliki PPCM maka si ibu perlu berada di observation room dalam tempoh lama dan itu yang aku lalui. Obsrvation room rasanya lagi 'seksa' dari berada di wad kerana satu badan dipenuhi wayar untuk pantau bacaan darah, kadar oksigen, degupan jantung.. belum masuk pemeriksaan nadi baby dan sebagainya. Cemuih gile kot.

Ini turut beri petunjuk betapa bahaya kondisi ibu apabila disahkan mengidap PPCM. Bila-bila masa sahaja jantung boleh shut down dan menurut doktor, masa ini nyawa ibu jadi keutamaan dan nyawa baby no 2. Mengenang statement ini aku mohon untuk bersalin awal kerana sebaik sahaja baby lahir, maka cuma nyawa ibu sahaja yang terancam disebabkan PPCM.

Terlalu panjang dan teknikal untuk diceritakan semua tapi aku paksakan diri menaip kerana manalah tahu, mungkin ada seorang wanita mengandung di luar sana terbaca ini dan dapat berasakan dirinya ada simpton PPCM, maka segeralah dapatkan rawatan sepatutnya. Rawatan tersebut bukan sahaja ketika melahirkan malah PPCM boleh beri risiko kematian sehingga 5 bulan selepas ibu melahirkan.

Ya, aku menulis ini juga kerana terbaca kisah sedih seorang ibu yang meninggal dunia secara tiba-tiba sambil diapit anak yang masih bayi di kiri kanan. Post mortem menunjukkan punca kematian ialah paru-paru berair dan jantung bengkak, selaras dengan tanda-tanda pengidap PPCM.

Harus diketahui pengidap PPCM perlu mengambil beberapa ubatan selepas melahirkan anak kerana risiko hilang nyawa masih ada. Antara ubat yang perlu diambil ialah Diuretic bagi mengurangkan penumpukan cecair pada paru-paru.

PPCM dikira masih 'rare' namun kesnya semakin meningkat saban tahun. Jantung agak berbeza daripada organ lain dalam tubuh manusia, ianya semacam enjin. Apabila rosak ianya memakan masa agak lama untuk sembuh sepenuhnya. Kesan PPCM aktiviti lasak perlu dilupakan selama-lamanya begitu juga jika ada keinginan mahu menambah anak lagi manakala jumlah air yang diminum setiap hari perlu disukat.

Apa-apa pun hidup ini kan penuh ujian dan sakit cuma salah satu daripadanya. Lagi pula bersama ujian ini lahirlah Khadijah ~ anugerah terindah yang menghilangkan semua sakit dan gundah. Alhamdulillah.




Sama-samalah kita ambil iktibar terhadap pengalaman ibu-ibu ini. Terkadang berilah perhatian ekstra terhadap diri sendiri masa sakit sebab kita taktau sejauh mana ia memudaratkan nyawa. Apa pun, Alfatihah buat arwah Siti Rohana, moga rohnya dicucuri rahmat.


No comments:

Post a Comment

loading...

Total Pageviews

Formulir Kontak

Name

Email *

Message *