Dalam Al-Quran Allah berfirman:
Maksudnya:
"Tuhan yang menjadikan mati dan hidup supaya
menguji manusia siapa di kalangan mereka itu yang baik amalannya." (Mulk:
2)
Di sini ada dua perkara yang akan dihuraikan:
1.Tuhan jadikan mati dan hidup
2.Tuhan jadikan manusia di dunia untuk diuji,
siapakah yang baik amalannya.
Kalaulah kita yang sebut ayat ini, bukan Tuhan yang
menyebutnya tentu kita berfikir secara lojik akal, kita akan sebut hidup dahulu
baru mati. Memang kenyataannya kita hidup dahulu baru mati. Tapi Tuhan sebut
mati dahulu baru sebut hidup. Tuhan tidak sebarangan menyebutnya, walau pun
satu huruf ada maksud dan hikmah, ada nilai yang besar di sisi Tuhan. Secara
lojik akal tentu kita berfikir, tidak kisahlah yang mana dahulu, hidup atau
mati. Menurut lojik akal, kita tidak kira yang mana dahulu tapi Tuhan tidak
begitu. Satu huruf pun yang Tuhan sebut ada maksud, tidak secara suka-suka.
Mengapakah Tuhan menyebut mati dahulu dan tidak
memilih hidup dahulu baru mati. Ini menunjukkan Tuhan hendak tarik perhatian
manusia supaya kita memandang besar perkara mati, lebih daripada soal hidup.
Mengapa? Sebab hidup di dunia hanya sementara. Hidup di Akhirat selama-lamanya
kekal abadi. Hidup di dunia, sudahlah tidak lama, masa yang ada pun hanya
sekejap sangat.
Cuba kita analisa tempoh hidup kita di dunia. Kita
tidak usah fikirlah masa dalam kandungan, bayi, kanak-kanak dan sebelum baligh,
itu tidak ada erti apa-apa. Kehidupan seorang manusia itu sejak lahir sahaja
hingga menjelang baligh, tidak ada erti apa-apa. Sebab masa itu manusia tidak
ada kebebasan, hidupnya betul-betul bergantung pada ibu dan ayahnya. Sebahagian
masa kita sedar, sebahagiannya tidak. Sejak waktu bayi sampai usia lima tahun
kita tidak sedar. Dari lima tahun hingga baligh baru sedar, itupun tidak indah,
keadaannya terkongkong oleh ibu dan ayah. Masa yang kita hendak ambil kira
ialah sejak mula baligh, secara puratanya umur 12 tahun.
Kita akan kira dari umur kita 12 tahun. Paling lama
berapa tahun manusia hidup? Katalah hidupnya 100 tahun. Jadi hidup prime time
kita kira 100 kurang 12 tahun, iaitu 88 tahun. Tapi katalah dari umur 80 hingga
100 tahun sudah nyanyuk, jadi 20 tahun itu sudah tidak di kira. Kita tolak lagi
88 dengan 20, jadi tinggal 68 tahun sahaja. Hidup selama 68 tahun itu pun
jarang dapat, mungkin dalam 1000 orang, seorang sahaja. Tapi pada umumnya,
panjang masa manusia dapat hidup adalah sekitar 40 hingga 50 tahun sahaja masa
primanya, setelah itu mati. Jadi kita hendak bahaskan masa yang 50 tahun
Di sini Tuhan hendak mengambil perhatian kita
supaya besarkan Akhirat. Walaupun kita hidup istimewa, sejak lahir sahaja sudah
berada dalam kekayaan, 50 tahun hidup dalam kekayaan. Nampak hebatlah, rumah
besar, makan besar, pangkat besar dan di besar-besarkan orang sampai ke mati.
Kalau dalam masa 50 tahun ini, kita tidak ikut disiplin Tuhan, dalam masa itu
diuji oleh Tuhan 50 tahun hidup istimewa, lepas itu kena hidup dalam Neraka
selama-lamanya. Bila kita gagal berhadapan dengan ujian Tuhan walaupun hidup
istimewa, tapi kita akan berhadapan dengan 4 penderitaan.
1. Penderitaan sewaktu mati
Mati ini kita tidak boleh ukur pada pandangan lahir
semata-mata. Kalau di ukur secara lahir, kadang-kala orang berkata, "Si
Polan itu nampaknya senang matinya, bagus matinya, nampak elok sahaja, mudah
sahaja," itu kata kita yang menilai lahirnya sahaja sedangkan di waktu itu
dia sudah berada di alam lain, bukan di alam kita. Kita tidak boleh mengukur
alam syahadah dengan alam lain. Penderitaan yang dihadapi oleh orang yang hendak
mati bukan kita tahu.
Rasulullah SAW pernah berkata bahawa orang yang
mati dalam penderitaan itu ada tanda-tandanya, di antaranya ialah:
- mata terbeliak
- telinga kembang
- berbunyi macam kerbau berdengkur
Itulah di antara ciri-ciri orang yang mati di dalam
azab. Jadi orang yang gagal ujian Tuhan walau dia kaya sekalipun, hidup senang,
dilayan istimewa, tidak pernah susah hanya sekitar 50 tahun, tapi selepas itu
tetap tidak akan terlepas daripada penderitaan mati. Itu nisbah seorang yang
kaya raya, kita tidak cakap tentang orang biasa, yang kadangkala susah,
kadangkala senang hidupnya. Ini kita cakap tentang orang yang 50 tahun hidup
dengan penuh istimewa sungguh, dunianya syurga, tidak pernah sakit, tidak
pernah susah tidak pernah orang kata, tidak pernah orang hasad dengki. Tapi
bila gagal menjalani ujian Tuhan, selepas itu yang pertama dihadapi adalah
penderitaan mati.
Hadis juga ada menceritakan sakit mati itu bagaikan
300 tetakan pedang. Bayangkan kalau sekali orang sembelih kita, walaupun kita
tidak pernah alami, tentu terasa sakitnya, sedangkan sakit mati itu ialah 300
kali ganda. Walaupun nampak macam sekejap sahaja hilang nyawa tapi sebenarnya
macam dapat 300 tetakan.
2. Penderitaan di alam kubur
Sewaktu di tanam, Hadis mengatakan, apabila orang
yang mengiringi jenazah sudah balik, setelah tujuh langkah bermulalah
penderitaan kubur. Pertama kejahatan kita itu dilembagakan. Kerana busuknya
kalaulah tercium, orang di dunia boleh mati, bahkan akan mati makhluk seluruh
dunia. Kemudian orang yang mati itu akan bertanya, "Kau siapa?"
Lembaga itu akan menjawab, "Aku ini kejahatan engkau." Lepas itu
barulah malaikat datang, bertanya pula, bila tidak dapat jawab, disebat hingga
terperosok ke dalam tanah 70 hasta, setiap kali ditanya dan tidak boleh jawab
malaikat akan sebat dan terperosok lagi sampailah kiamat, apakah mampu
menanggung azab itu?
3. Penderitaan Padang Mahsyar
Antara penderitaan Padang Mahsyar, bagi orang
jahat, matahari berada di atas ubun-ubun. Kerana banyaknya manusia di Padang
Mahsyar, dalam Quran diceritakan betis-betis bertindih macam rokok dalam
kotaknya, rapat, padat, ketat. Tuhan biarkan beratus tahun dalam keadaan begitu
hingga peluh keluar dan manusia tenggelam dalam peluhnya. Sanggupkah?
4. Penderitaan Neraka
Penderitaan paling dahsyat adalah Neraka. Manusia
nanti kena meniti Siratal Mustaqim. Orang yang jahat akan jatuh ke Neraka.
Penderitaan Neraka di antaranya; kaki dengan tangan diikat, dicantum pada
tengkok dan dibelenggu. Api membakar, menyala, panasnya 90 kali ganda api yang
ada di dunia. Api yang paling kuat di dunia dianggap satu, di Neraka ditambah
power 90 kali ganda lagi panas, apakah larat? Disebat setiap hari oleh
malaikat, bila lapar diberi makan zakum, iaitu bara api Neraka. Apakah larat? Bagi
orang kafir, kekal selamanya dalam Neraka, bagi orang Islam yang buat dosa,
tidak kekal, tapi mungkin sejuta tahun, 3000 tahun, seribu tahun. Apakah larat?
Jadi orang yang waktu hidup di dunia tidak ikut
disiplin Tuhan kemudian dia tidak tahan diuji Tuhan, maka ada empat penderitaan
tadi yang akan ditempuh. Oleh itu kalaulah orang tahu hakikat ini, maka kerana
Tuhan, susah di dunia pun tidak mengapa. Kesusahan 50 tahun di dunia tidak sama
dengan susah yang empat jenis tadi itu. Di dunia ujian paling susah mungkin
kena langgar kereta dan mati, jatuh ke laut, mati lemas, sakit kuat lalu mati.
Tapi tidaklah tersiksa sangat berbanding dengan kesusahan di Akhirat nanti.
Sebab itulah tidak pelik mengapa Tuhan sebut tentang Akhirat dahulu baru dunia.
Cuba kita lihat realiti yang berlaku hari ini, bila
disebut antara dunia dan Akhirat, manusia lebih cenderung untuk memikirkan
tentang yang dekat iaitu dunia berbanding Akhirat yang jauh. Lebih mengambil
berat tentang dunia berbanding Akhirat. Ertinya kalau nisbah dunia dan Akhirat
kita fikir yang dekat iaitu dunia. Tapi kalau di antara dunia dengan dunia kita
tidak fikir yang dekat, kita fikir jauh. Di dunia seseorang itu akan fikir
untuk masa depannya, sanggup belajar jauh di luar negara, jual tanah, jual aset,
dan berfikir biar susah dahulu asalkan senang kemudian.
Nisbah kehidupan di dunia, manusia cenderung untuk
fikir yang jauh, tidak fikir yang dekat, tapi nisbah Akhirat dia tidak fikir
yang jauh, padahal itu lagi berat. Akhirat lagi utama kerana ia kekal
selama-lamanya. Untuk masa depan di dunia orang sanggup susah payah belajar,
ambil PhD di Amerika, pinjam duit merata-rata, tapi tidak mengapa susah dahulu,
nanti senang kemudian. Pandai pula berfikir susah dahulu senang kemudian.
Mengapa tidak buat untuk Akhirat begitu?
Penderitaan dunia dan Akhirat itu jauh bezanya.
Nisbah penderitaan dunia dengan Akhirat, susah di dunia ini macam digigit
nyamuk, manakala di Akhirat macam dibaham singa. Walaupun sebenarnya kadarnya
bukan sebegitu tapi itu sahaja yang boleh kita cuba bandingkan. Yang kita takut
sangat nyamuk gigit sampai sanggup ambil risiko dibaham singa mengapa?
Sebenarnya bandingannya entah berapa ribu kali ganda.
Nikmat dunia ini apalah sangat? Nisbah makan, apa
yang paling sedap? Katalah durian. Lepas makan durian ke mana? Tak ke istana
tapi ke tandas. Tapi nisbah makanan di Akhirat, katalah kita makan epal, kita
gigit kali pertama, lain rasanya, gigit lagi kali ke dua sudah lain pula rasa,
bertambah sedap, bertambah sedap lagi, sudahlah bertambah sedap, tidak sakit perut,
tidak ke tandas selepas itu. Tapi orang tidak nampak itu semua, orang nampak
durian di dunia, tidak nampak durian di Akhirat. Katalah ada 100 jenis buah,
dalam sekelip mata boleh makan 100 jenis itu. Tidak sakit perut, tidak ke
tandas! Betapa indahnya Akhirat!
Di Syurga, orang yang paling lemah iman dapat 50
bandar, bukan bandar macam Kuala Lumpur atau New York, tapi tidak dapat
digambarkan keindahannya. Kalau di dunia, katalah orang hadiah kita 50 bandar
macam Kuala Lumpur, itu malah menyusahkan. Yang kedua, bolehkah lawat semua?
Hari ini secara detail kita tidak boleh melawat semua. Tidak mampu. Kalau mampu
pun tentu letih, jemu, fed-up, apa indahnya lagi? Sedangkan di Akhirat,
teringat sahaja sesuatu, tidak sampai seminit semua dapat lihat. Yang imannya
lebih tinggi lagi banyak dapat bandar. Bila mahu melawat dalam sekelip mata
boleh lawat semua. Ingat sahaja, katalah kita ingat sesuatu di New York, niat
sahaja sudah sampai. Teringat sesuatu di Kuala Lumpur, niat sahaja sudah
sampai. Katalah hendak lawat dengan kapal terbang, kapal terbang tidak jatuh.
Kalau kita minta dijatuhkan sedap pula dijatuhkannya. Tak takut.
Kalau isteri, ada seribu, 2000, 3000, di antaranya
bidadari. Walaupun bidadari istimewa, isteri kita besok ketua isteri-isteri,
kalau isteri kita masuk Syurga sama. Kalau tidak masuk Syurga sama, habislah.
Jadi ketua isteri itu isteri kita yang solehah. Di Syurga kehidupannya tidak
pernah bergaduh, berkasih sayang sepanjang masa. Teringat gaduh pun tak.
Tenggelam dalam nikmat dan tidak jemu.
Di Akhirat penderitaannya dahsyat, nikmatnya pun
dahsyat, sebab itu Tuhan sebut mati dahulu. Sebab is besar, sedangkan dunia
kecil tidak ada harga. Sebab itu di sisi Tuhan dunia ini kalau ada nilai
setakat sebelah sayap nyamuk, dan orang jahat tidak akan dapat apa-apa.
Kerana dunia ini tiada nilai di sisi Tuhan, maka
orang jahat diberi banyak, siapa paling jahat dapat lebih banyak, yang
baik-baik, makin tidak dapat. Macam Rasul-rasul, Tuhan tidak bagi kekasih-Nya
perkara yang tidak ada nilai. Dunia ini untuk orang jahat, sila ambil. Untuk
para kekasih Tuhan, Tuhan berkata: "Engkau kekasih-Ku, Aku hendak simpan
di Syurga."
Setelah kita buat perbandingan dunia Akhirat,
munasabahlah Tuhan sebut mati dahulu sebelum Akhirat supaya kita bagi tumpuan
pada Akhirat daripada dunia.
No comments:
Post a Comment